29 Januari 2002
Utusan Express
Utusan Malaysia
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info

 
 Forum

Sekolah aliran kebangsaan juga mampu lahirkan pelajar cemerlang

Saudara Pengarang,
PADA 25 Januari 2002, Utusan Malaysia menyiarkan rencana tentang pujian yang diberikan terhadap sekolah Cina bertajuk Kenapa sekolah Cina lebih cemerlang?

Sebelum ini sudah beberapa kali Utusan Malaysia menyiarkan pendapat pembaca yang berkisar tentang perkara yang sama.

Bagaimanapun saya berpendapat laporan dan surat pembaca yang disiarkan tidak mengupas isu ini dengan seimbang sehingga memberikan persepsi bahawa sekolah beraliran Cina tiada tandingannya berbanding sekolah aliran kebangsaan.

Saya ialah seorang bekas pelajar berasal daripada sekolah aliran kebangsaan. Saya merupakan salah seorang pelajar terbaik sekolah tersebut dengan keputusan 5A pada peperiksaan penilaian darjah lima.

Selepas itu saya melanjutkan pelajaran di sekolah menengah kebangsaan beraliran agama. Saya merupakan pelajar terbaik dengan memperoleh 8A pada peperiksaan SRP.

Saya ditawarkan memasuki sekolah berasrama penuh (juga sekolah agama) dan belajar dalam aliran Sains. Saya berjaya mendapat 8A dalam peperiksaan SPM dan ditawarkan memasuki IPTA tempatan.

Sepanjang pembelajaran saya, saya melihat ada empat faktor penting kejayaan akademik saya di peringkat sekolah.

Pertama, corak pentadbiran dan pengurusan sekolah. Kedua, komitmen dan kemahiran guru. Ketiga, keprihatinan ibu bapa. Keempat, sikap dan disiplin pelajar itu sendiri.

Apa sekalipun aliran sekolah tersebut asalkan pelajar-pelajar tersebut berdisiplin pasti akan mencapai kecemerlangan akademik.

Apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan terdapat 60,000 pelajar bumiputera yang mendapat pendidikan di sekolah aliran Cina, pendedahan mereka dilaporkan dengan berat sebelah tanpa menyebut nisbah jumlah tersebut berbanding jumlah jutaan pelajar Melayu yang berada di sekolah kebangsaan.

Di samping itu tidak pula disebut jumlah sebenar pelajar Melayu di antara 60,000 pelajar bumiputera yang belajar di sekolah beraliran Cina.

Apakah niat di sebalik kenyataan tersebut? Adakah ia bertujuan untuk menunjukkan bahawa sekolah kebangsaan sudah tiada harapan lagi? Atau adakah untuk menunjukkan ibu bapa pelajar Melayu `sungguh-sungguh' berminat untuk menghantar anak mereka ke sekolah Cina?

Bagi saya jumlah tersebut tidaklah signifikan untuk menggambarkan kehendak ibu bapa pelajar Melayu.

Sebagai seorang bapa, saya percaya pembentukan sikap dan disiplin pelajar terhadap pelajaran bukan bermula di sekolah, sebaliknya di rumah.

Sekolah, atau lebih tepat lagi pihak pentadbirannya, yang mengutamakan disiplin akan memantapkan lagi didikan awal yang diterima di rumah.

Peluang pelajar untuk mencapai kecemerlangan akan lebih baik jika sekolah tersebut mempunyai guru-guru terlatih dan berpengalaman.

Sekiranya guru tidak berpengalaman tetapi mempunyai komitmen yang tinggi dalam tugasnya, saya percaya dia akan tetap berjaya membentuk pelajar yang turut komited dalam pembelajarannya.

Peranan ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan akademik anak-anak sangat penting. Guru hanya sekadar membimbing di dalam kawasan sekolah pada waktu sekolah.

Selepas waktu sekolah, disiplin yang dibentuk oleh ibu bapa yang memimpin pelajar untuk tidak mengabaikan tugas-tugas mereka.

Sebagai bapa saya lebih suka menghantar anak saya belajar di sekolah rendah aliran kebangsaan yang mempunyai campuran pelbagai kaum.

Saya mahu melatih anak-anak saya bercampur gaul dengan pelbagai kaum daripada pelbagai latar belakang ekonomi sejak usia muda lagi. Saya mahu mereka faham di Malaysia apa yang mereka alami itu adalah realiti.

Mungkin apabila mereka memasuki tingkatan satu nanti, barulah saya mahu memasukkan mereka ke sekolah beraliran agama. Ini adalah kerana saya mahu mereka mempelajari sedikit sebanyak asas bahasa Arab dan dididik dengan disiplin agama Islam yang sebaik-baiknya.

Apabila nanti mereka menjadi seorang profesional, biarlah mereka menjadi profesional yang berkeperibadian dan berpengetahuan Islam. Itulah perancangan dan hasrat saya.

Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap sekolah aliran kebangsaan kerana saya sendiri berasal daripada aliran tersebut.

Saya sangat bertuah kerana di sekolah-sekolah tersebut, guru besar dan pengetuanya meletakkan kecemerlangan akademik melebihi bidang-bidang lain.

Guru-guru saya, terutamanya ketika berada di tingkatan tiga dan lima merupakan guru-guru berpengalaman, terlatih dan merupakan pemeriksa kertas peperiksaan.

Mereka juga komited dengan tugas dan sering menjalankan `latih tubi' bagi menguji kefahaman dan penguasaan pelajar terhadap mata pelajaran yang diajar.

Janganlah kita berilusi bahawa dengan menghantar anak kita ke sekolah yang mempunyai pengurusan yang baik, anak-anak kita akan mendapat keputusan peperiksaan yang baik juga.

Faktor sikap ambil tahu ibu bapa dan sikap serta disiplin anak-anak tetap menjadi penentu sebenar kejayaan diri mereka. Ini adalah masalah di semua sekolah, tidak kira aliran manapun.

Bagi ibu bapa kaum Melayu dan juga kaum-kaum lain, saya berharap janganlah mereka berprasangka untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah aliran kebangsaan.

Kesimpulan bahawa semua sekolah beraliran kebangsaan `tidak bagus', `tidak diuruskan dengan sistematik' dan `tidak mementingkan kecemerlangan akademik' adalah satu kesimpulan yang keterlaluan serta berbau penghinaan terhadap guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah tersebut.

Saya dan adik-adik saya tidak mungkin berjaya sekarang sekiranya tuduhan itu benar-benar berasas. - TUN FAISAL ISMAIL AZIZ, Gombak.


 
Tajuk-tajuk Berita
  • Sekolah aliran kebangsaan juga mampu lahirkan pelajar cemerlang
  • Pekerja Indonesia patut berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia
  • Ubah peraturan pakaian mandi di hotel
  • Pembinaan jejantas di MRR2 dijangka siap 24 April
  • JPN perjelaskan bayaran tukar kad pengenalan


  • www.tutor.com.my






    © UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my