Make your own free website on Tripod.com
28 Januari 2002
Utusan Express
Utusan Malaysia
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info

 
 Pendidikan

Pelajar - MMU sukar dapat calon Melayu


Mukadimah

UNIVERSITI Multimedia (MMU), salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tidak tertakluk kepada kuota pelajar seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Namun sejak dua tahun lalu MMU telah memohon kepada Kementerian Pendidikan supaya ia diletakkan di bawah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) kementerian berkenaan.

Ini bermakna pemilihan pelajar ke MMU akan dibuat oleh kementerian dan bukan lagi MMU. Ikuti temu bual MARZITA ABDULLAH dengan Presiden MMU Prof. Dr. Ghauth Jasmon, mengenai alasan untuk meletakkan MMU di bawah BPKP.

Soalan (S): Mengapa MMU menawarkan diri sedangkan kerajaan tidak memaksa IPTS mematuhi peraturan kuota itu.

Jawapan (J) : Tujuan MMU hanyalah untuk membantu kerajaan menyelesaikan ketidakseimbangan pelajar-pelajar Melayu di IPTS.

Memang telah kita ketahui bahawa pelajar Melayu kurang di IPTS. Di MMU sendiri, 55 peratus pelajarnya adalah pelajar bukan bumiputera. Ini tidak seimbang. Ia membimbangkan kita kerana kita tahu ketidakseimbangan ini tidak baik dalam jangka masa panjang.

Berdasarkan sejarah, sebelum MMU ditubuhkan ia hanyalah Institut Teknologi Komunikasi dan Informasi yang ditubuhkan oleh syarikat Telekom Malaysia Bhd. dan kita tahu sendiri Telekom dahulu adalah syarikat kerajaan.

Apabila kerajaan menjemput kita untuk menjadikan institut itu sebuah universiti, ini adalah suatu penghargaan kepada kita. Justeru itu apa yang MMU lakukan sekarang hanyalah untuk membantu kerajaan.

S: Adakah selama ini MMU sukar untuk mendapat pelajar Melayu?

J: Ya. Apabila permohonan dibuka kepada para pelajar, yang banyak memohon adalah pelajar-pelajar bukan bumiputera. Tidak ramai pelajar bumiputera ataupun Melayu yang memohon. Walaupun kita telah buat banyak tapisan dan kita telah berusaha untuk menyeimbangkan keadaan namun yang lebih banyak dan lebih baik adalah pelajar bukan bumiputera.

Pelajar-pelajar Melayu yang benar-benar cemerlang di MMU kebanyakan adalah terdiri daripada mereka yang menolak tawaran ke IPTA.

Kita juga tidak menolak bahawa pelajar bukan bumiputera lebih berminat dengan MMU kerana kita menawarkan banyak program teknologi maklumat (IT) yang terkini.

Sebenarnya nisbah pelajar bukan bumiputera juga tidak seimbang kerana 90 peratus daripada pelajar tersebut adalah pelajar Cina selebihnya adalah pelajar India. Kalau boleh, ini juga kita mahu seimbangkan.

S: Banyak pelajar Melayu menyifatkan MMU hanya untuk golongan berada justeru itu mereka lebih condong ke IPTA kerana yurannya juga lebih murah?

J: Itu tidak benar. MMU bukan untuk anak-anak orang kaya sahaja. Kita mengambil pelajar tanpa mengira darjat. Yang penting adalah keputusan peperiksaan mereka, sama ada ia memenuhi standard kita atau tidak.

Pelajar-pelajar MMU mempunyai pelbagai latar belakang keluarga. Tidak kira miskin, sederhana atau kaya. Namun begitu kita tidak menolak memang kebanyakan pelajar MMU terdiri mereka yang mempunyai latar belakang daripada keluarga senang.

Saya ingin perjelaskan bahawa sebagai sebuah universiti swasta kita tidak mendapat bantuan daripada kerajaan, tidak seperti IPTA. Walaupun kita mengenakan yuran yang agak mahal sedikit namun ia masih boleh ditampung oleh para pelajar.

S: Adakah MMU membiayai sebahagian daripada pembayaran yuran tersebut?

J: Tidak. Sebenarnya hampir 95 peratus daripada pelajar MMU mendapat bantuan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Yang mendapat biasiswa pun hanyalah dari syarikat Telekom, itupun kira-kira 100 orang sahaja setiap tahun.

S: Mungkin jumlah pinjaman itu tidak mencukupi bagi seorang pelajar yang belajar di MMU?

J: Jumlah yang diberi oleh PTPTN adalah berdasarkan permohonan yang dibuat oleh MMU sendiri. Kita yang akan tentukan jumlah yang perlu diberi. Setiap pelajar di MMU mempunyai jumlah pinjaman yang berbeza mengikut program masing-masing. Jika program yang diikuti melibatkan kos yang tinggi maka kita mohon pinjaman yang lebih untuk pelajar program berkenaan. Jumlah yang diberi memang cukup untuk membayar yuran dan sara hidup para pelajar MMU.

S: Prof. tidak bimbang jika pemilihan pelajar Melayu yang dibuat oleh BPKP adalah terdiri daripada pelajar yang kurang cemerlang?

J: Saya rasa ini tidak akan berlaku kerana MMU mempunyai garis panduan tersendiri dalam pemilihan pelajar. Garis panduan ini akan kita serahkan kepada BPKP dan kita mahu ia dipatuhi. Mengikut garis panduan MMU, pelajar-pelajar perlu mendapat kepujian bagi mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Fizik untuk memasuki MMU.

S: MMU mungkin akan menghadapi masalah yang sama seperti IPTA lain dalam menghadapi karenah pelajar sama ada dari segi pembelajaran mahupun pergaulan?

J: Ingin saya tekankan di sini bahawa MMU adalah sebuah universiti yang mengambil berat tentang pelajarnya. Kita tidak akan buang pelajar sewenang-wenangnya jika dia gagal meraih keputusan yang baik. Sebaliknya kita akan bimbing mereka. Mereka yang mempunyai keputusan purata gred kumulatif (CGPA) bawah 2.0 akan dihantar menyertai Program Pelajar Yang Ditamatkan.

Melalui program ini, setiap hari Sabtu dan Ahad selepas semester berakhir mereka akan dibawa ke kampus MMU di Melaka untuk mengikuti sesi lampas minda dan kaunseling. Untuk semester ini sahaja sebanyak 100 pelajar terlibat.

Sebenarnya para pelajar ini bukannya tidak cerdik tetapi mereka menghadapi masalah-masalah tertentu yang menghalang mereka untuk memberi tumpuan pada pelajaran.

Kadang-kadang mereka ini mengikut kawan-kawan, tidur lambat dan pelbagai masalah remaja yang lain.

Jika dibimbing dan diberi kesedaran, mereka sebenarnya boleh menjadi pelajar yang cemerlang.

S: Bilakah BPKP dapat menerima MMU?

J: Saya tidak pasti tetapi jika mereka terima kita serta merta, kita bersedia kerana memang kita mengalu-alukannya malah banyak universiti lain seperti Uniten, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dan Universiti Perubatan Antarabangsa yang turut menunggu untuk diserapkan di BPKP.


 
Tajuk-tajuk Berita
  • Sambung pelajaran - Guru soalkan apa untungnya berijazah
  • Pelajar - MMU sukar dapat calon Melayu
  • Seminar perkembangan sumber manusia
  • Tawaran biasiswa RM100,000 ISKL
  • USM nafi sekat kebebasan pelajar


  • www.tutor.com.my






    UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my