Make your own free website on Tripod.com
28 Januari 2002
Utusan Express
Utusan Malaysia
 

Search Archives
Feedback
Corporate Info

 
 Pendidikan

Sambung pelajaran - Guru soalkan apa untungnya berijazah

Fokus
Oleh Salina Ibrahim
ADALAH suatu yang ironi apabila program pensiswazahan guru secara jarak jauh (PJJ) yang diperkenalkan oleh Universiti Terbuka Malaysia (Unitem) dan Bahagian Pendidikan Guru (BPG) Kementerian Pendidikan kurang sambutan, sedangkan pada masa yang sama kerajaan giat mahu mensiswazahkan guru menjelang tahun 2005.

Sejak iklan pengambilannya dibuka kira-kira dua bulan lalu, jumlah pemohon hanya sekitar 1,000 orang dan ini jauh daripada 3,700 orang yang disasarkan.

Jumlah 1,000 ini memang terlalu kecil berbanding 150,000 guru bukan siswazah yang sedang mengajar di seluruh negara hari ini.

Walaupun ada insentif yang disediakan melalui program tersebut, antaranya guru tidak perlu berhenti mengajar, sebaliknya mereka dibekalkan pula bantuan kewangan yang diluluskan kementerian, tetapi setakat ini ia seakan-akan dipandang sepi.

Malah sambutan kurang menggalakkan ini menyebabkan Unitem berhasrat membuka sesi pengambilan kali kedua pada Ogos ini sekiranya masih tidak menepati sasaran.

Malah Presiden Unitem, Tan Sri Abdullah Sanusi Ahmad baru-baru ini berkata, Unitem sendiri akan turun padang ke seluruh negara bagi memberikan sebanyak-banyak penerangan mengenai program ini kepada warga pendidik.

Memang sukar menduga sebab-musabab sambutan dingin tersebut.

Pada peringkat awal ini, kita boleh katakan sebabnya mungkin kerana kekurangan maklumat mengenai program yang ditawarkan itu.

Apatah lagi kedudukan Unitem sendiri yang masih terlalu baru penubuhannya, mungkin boleh dikaitkan dengan kurang sambutan tersebut.

Namun dari satu segi, tidak wajar juga kita melihat faktor `kurang maklumat' sebagai alasan utama.

Ini kerana pada zaman yang serba mudah ini, maklumat begitu senang didapati, baik melalui media-media massa ataupun secara atas talian.

Tetapi yang paling kita bimbangkan kemungkinan sambutan dingin tersebut berpunca daripada sikap kurang minat guru untuk menyambung pelajaran.

Jika benarlah telahan ini, maka hasrat kerajaan untuk menyediakan guru siswazah di sekolah-sekolah, tentu mengalami jalan sukar.

Jika diteliti dengan mendalam, semata-mata `tidak minat' juga bukan alasan kukuh, tetapi ia sudah tentu mempunyai kaitan dengan pelbagai alasan lain.

Kita pasti guru bukan siswazah tentu bersemangat untuk melanjutkan pelajaran jika mereka tahu akan mendapat keuntungan daripada `perjuangan' mereka itu.

Tetapi apabila mereka memandang sepi kepada program yang dikatakan bakal mengubah masa depan mereka ini, tentu ada sesuatu yang tidak kena.

Perkara yang `tidak kena' itu bukanlah ditujukan kepada program yang diperkenalkan Unitem itu atau perancangan yang dilakukan oleh kementerian, tetapi lebih daripada itu.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Tengku Habsah Tengku Petera ketika ditanya pendapatnya, mengaitkan hal ini dengan sikap `kurang arif' guru-guru mengenai ganjaran yang akan diperoleh selepas menamatkan pengajian.

``Memang mereka tidak rugi kalau sambung belajar untuk dapat ijazah.''

``Tetapi mereka pun tidak untung apa-apa selepas dapat ijazah,'' katanya.

Tanggapan `aku tidak rugi tetapi tidak untung' secara tidak langsung boleh dikaitkan dengan ganjaran yang akan mereka peroleh selepas bergelar guru siswazah nanti.

Justeru, ada guru berpendapat lebih baik berada di takuk sekarang daripada berpenat-lelah menyambung pelajaran yang belum tentu dapat mengubah kehidupan mereka ke tahap yang lebih baik.

Berubah kedudukan dari guru bukan siswazah kepada guru siswazah selepas bergraduat dalam tempoh empat tahun akan datang, mungkin akan melibatkan banyak implikasi lain.

Difahamkan, selepas bergraduat nanti, guru-guru akan mendapat kenaikan ke mata gaji terdekat yang perbezaannya sekitar RM100 sahaja.

Selain itu, yang paling meresahkan guru, kata Tengku Habsah ialah kemungkinan mereka akan ditukarkan mengajar ke tempat lain selepas beroleh gelaran guru siswazah nanti.

Bagi segelintir guru, faktor `kena pindah' terutamanya jika ke kawasan pedalaman, memang sukar diterima kerana mereka sudah selesa dengan persekitaran sebelum ini.

Tengku Habsah bagaimanapun bernada positif bahawa umumnya kebanyakan guru memang menunjukkan minat untuk menyambung pelajaran.

``Tetapi faktor kurang pengalaman dan kurang pendedahan mengenai kebaikan yang akan mereka peroleh yang menyebabkan mereka seperti memandang dingin program pensiswazahan ini,'' katanya.

Sekitar tahun lalu, dunia pendidikan pernah didedahkan dengan lambakan guru PJJ yang mengadu sukar untuk menikmati kenaikan daripada DG5 kepada DG3 walaupun sudah bergelar guru siswazah.

Malah pengaduan mereka turut diiringi keluhan, ``betapa tidak berbaloinya kami berjerih perih belajar sedangkan peluang mendapat kenaikan sangat terhad dan tipis''.

Bagaimanapun difahamkan, sehingga kini seramai 3,000 guru PJJ berkenaan sudah menikmati kenaikan pangkat sejak tahun lalu.

Hal ini diakui oleh Presiden Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat (KGGMB), Dr. Abdul Rahman Daud, bahawa tidak timbul lagi masalah guru PJJ berikutan kebanyakan mereka sudah menikmati kenaikan yang diidam-idamkan, baru-baru ini.

Malah jelasnya, lambakan guru PJJ bagi mata pelajaran tertentu juga dapat diatasi dengan sebahagian mereka menukar bidang pengajaran masing-masing.

Melegakan

Senario ini sekurang-kurangnya diharap dapat melegakan guru yang berhasrat melanjutkan pelajaran bahawa mereka tidak akan mengulangi sejarah guru PJJ lalu.

Yang penting, kata Dr. Abdul Rahman, guru harus merebut peluang untuk menaiktarafkan ilmu masing-masing.

``Terutamanya bagi kalangan guru Melayu, mereka mesti rebut peluang dan sahut cabaran ini,'' katanya.

Antara kekurangan maklumat dengan kekurangan minat, kita menaruh harapan besar supaya ia boleh diatasi dengan jaya.

Jika maklumat yang jadi puncanya, maka pihak berkenaan harus menggunakan seluruh mekanisma yang ada untuk menyebarluaskan maklumat tersebut.

Ini termasuklah bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kesatuan-kesatuan guru.

Tetapi jika `kurang minat guru' yang menjadi masalah utama, pendekatan lain pula harus digunakan.

Justeru kementerian perlu berbuat sesuatu supaya guru mengambil peluang keemasan ini, termasuk menyediakan banyak insentif untuk mereka selepas menjadi guru siswazah nanti.

Ini bukan masalah yang dihadapi Unitem semata-mata tetapi secara globalnya kita bimbang sikap tidak minat menyambung pelajaran akan menjadi budaya baru pula di kalangan guru.

Kes di Unitem hanya satu contoh kecil sahaja.

Jangan pula selepas ini kita mendengar program pensiswazahan guru yang akan diadakan oleh pihak lain juga turut mengalami nasib yang sama atas faktor yang sama.


 
Tajuk-tajuk Berita
  • Sambung pelajaran - Guru soalkan apa untungnya berijazah
  • Pelajar - MMU sukar dapat calon Melayu
  • Seminar perkembangan sumber manusia
  • Tawaran biasiswa RM100,000 ISKL
  • USM nafi sekat kebebasan pelajar


  • www.tutor.com.my






    UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
    E-mail: online@utusan.com.my