Sumber


Khalil Akan Bincang Isu Pelajar Tanpa Izin Malaysia Di Indonesia Dengan Musa
 
 
Oleh Openg Onn

SURABAYA (Indonesia), 7 April (Bernama) -- Menteri Penerangan Tan Sri Khalil Yaakob akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad mengenai kehadiran penuntut tanpa izin dari Malaysia di pelbagai pesantren (sekolah agama berasrama) di Indonesia.

Katanya kajian patut dibuat bagi menentukan bilangan sebenar penuntut berkenaan kerana mengikut anggaran jumlahnya adalah besar.

 

"Saya difahamkan di Jawa Timur sahaja, jumlah mereka mungkin melebihi 100 orang...ini amat membimbangkan," katanya kepada Bernama sebelum berlepas ke Kuala Lumpur setelah menamatkan lawatan tiga hari ke ibu kota wilayah Jawa Timur ini.

Jumaat lepas, beliau menghadiri majlis jamuan malam ramah mesra dan dialog anjuran Kelab Umno Surabaya bersama pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di bandar ini.

Khalil, yang juga Setiausaha Agung Umno, turut melawat beberapa tempat menarik di sini termasuk perkampungan perusahaan barangan kulit di daerah Tanggulangin.

Beliau berkata penuntut tanpa izin dari Malaysia memasuki Indonesia melalui "pintu belakang" tanpa menggunakan dokumen sewajarnya atau memaklumkan kepada Kedutaan Malaysia setelah mendaftarkan diri di pesantren berkenaan.

Semasa menuntut di sini, mereka tinggal di sekolah-sekolah yang kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman dan tidak banyak berhubungan dengan dunia luar.

"Ini menyulitkan kita untuk mengetahui jumlah mereka dan di pesantren mana mereka belajar," kata Khalil.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan boleh mendapatkan bantuan Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia untuk menjalankan kajian berhubung perkara itu.

Katanya, oleh kerana para penuntut terbabit masih terlalu muda dan kebanyakan mereka baru sahaja menamatkan pendidikan sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami kesannya kerana mematuhi kehendak ibu bapa agar mereka belajar di sekolah-sekolah berkenaan.

Khalil berkata, rakyat Malaysia yang menjadi penuntut tanpa izin di sekolah-sekolah agama di luar negara bukan sahaja terdapat di Indonesia malah di negara lain termasuk Afrika Selatan seperti yang terdedah baru-baru ini.

Kerajaan bimbang tentang masa depan pelajar-pelajar ini kerana apabila kembali ke tanah air, mereka sukar mendapat pekerjaan dengan berbekalkan kelayakan yang mereka perolehi, katanya.

Ditanya sama ada fenomena ini boleh dikaitkan dengan keghairahan sesetengah orang untuk mendapatkan ilmu kebatinan, beliau berkata itu mungkin satu daripada faktornya.

"Sesetengah pesantren diketahui mempunyai kaitan dengan amalan ilmu kebatinan yang mungkin menyeleweng daripada ajaran Islam," kata Khalil.

Terdapat hampir 2,000 pelajar berdaftar dari Malaysia yang melanjutkan pelajaran di pelbagai universiti dan institusi pengajian tinggi milik kerajaan di Indonesia.

-- BERNAMA