Make your own free website on Tripod.com

 

KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 12 TAHUN 2001



PELARASAN GAJI 10% KEPADA ANGGOTA
PERKHIDMATAN AWAM PERSEKUTUAN
DI BAWAH SISTEM SARAAN BARU

 

 

TUJUAN

1.       Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan Pelarasan Gaji berikutan keputusan Kerajaan menaikkan gaji sebanyak 10% kepada semua anggota perkhidmatan awam Persekutuan di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) mulai 1 Januari 2002.

 

TAFSIRAN

2.       Dalam Pekeliling Perkhidmatan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, istilah berikut mempunyai erti seperti di bawah ini-

“anggota kontrak” ertinya seseorang yang dilantik oleh pihak berkuasa melantik ke sesuatu jawatan dalam satu tempoh tertentu melalui satu perjanjian;

“anggota sambilan” ertinya seseorang yang dilantik oleh Ketua Jabatan untuk menjalankan tugas jangka masa pendek dan dibayar upah mengikut kadar gaji harian;

“anggota sangkut” ertinya seseorang yang dilantik oleh Ketua Jabatan untuk bertugas dari sebulan ke sebulan bagi tempoh jangka masa pendek;

“anggota sementara” ertinya seseorang yang dilantik secara sementara oleh Suruhanjaya Perkhidmatan atau pihak yang diwakilkan kuasa olehnya;

“anggota tetap” ertinya seseorang yang dilantik secara tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan atau pihak yang diwakilkan kuasa olehnya;

“Gaji Baru” ertinya Matagaji Sistem Saraan Baru yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2002;

“Gaji Sekarang” ertinya Matagaji Sistem Saraan Baru yang berkuatkuasa sehingga 31 Disember 2001;

“guru sandaran” ertinya seseorang yang dilantik sebagai guru secara sandaran oleh Ketua Jabatan;

“Jadual Gaji Baru” ertinya jadual yang meliputi tanggagaji sebaris atau jadual gaji matriks yang berkuatkuasa dalam Sistem Saraan Baru mulai 1 Januari 2002;

“Jadual Gaji Sekarang” ertinya jadual yang meliputi tanggagaji sebaris atau jadual gaji matriks yang berkuatkuasa dalam Sistem Saraan Baru sehingga 31 Disember 2001;

“Matagaji” ertinya gaji pokok yang terletak di sesuatu tanggagaji sebaris atau jadual gaji matriks;

“Matagaji Baru” ertinya Matagaji dalam Jadual Gaji Baru;

“Matagaji Sekarang” ertinya Matagaji dalam Jadual Gaji Sekarang;

“Pelarasan Gaji” ertinya perubahan gaji berikutan daripada kenaikan gaji yang telah ditetapkan; dan

“Sifir Pemindahan Gaji” ertinya sifir yang menunjukkan cara pemindahan gaji daripada Jadual Gaji Sekarang kepada Jadual Gaji Baru.

 

PELAKSANAAN

Pelarasan Gaji

3.       Pelarasan Gaji tidak diberi kepada -

          a. anggota yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja yang berkuatkuasa pada atau selepas 1 Januari 2002 sehingga tarikh Pekeliling Perkhidmatan ini; dan
 
  b. anggota yang bersara sebelum atau pada 1 Januari 2002.

4.       Pelarasan Gaji hendaklah diberi kepada anggota tetap, sementara, kontrak (termasuk anggota kontrak yang dibayar gaji secara pukal), sangkut, sambilan dan guru sandaran yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Kerajaan pada atau selepas 1 Januari 2002 mengikut skim perkhidmatan SSB. Bagi anggota kontrak, Pelarasan Gaji hendaklah dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan atau lain-lain pihak berkuasa melantik yang berkenaan dengan membuat pindaan kepada tanggagaji di dalam surat perjanjian pelantikan. Bagi anggota lain, pelarasan gaji hendaklah dibuat oleh Ketua Jabatan.

5.       Di samping itu, Pelarasan Gaji hendaklah diberi kepada anggota yang berkhidmat dalam perkhidmatan Kerajaan pada atau selepas 1 Januari 2002 yang berada dalam keadaan seperti berikut-

  a. dipinjam atau ditukar sementara ke agensi Kerajaan, Pelarasan Gaji hendaklah mengikut gaji pinjaman atau pertukaran sementara. Gaji hakiki anggota berkenaan hendaklah diselaraskan secara isyarat oleh Ketua Jabatan;
 
b. dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat secara isyarat atas gaji hakiki oleh Ketua Jabatan;
 
c. cuti bergaji penuh, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat atas gaji pokok yang diterima;
 
d. cuti separuh gaji, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat atas gaji pokok dan dibayar separuh daripada Gaji Baru;
 
e. cuti tanpa gaji, Pelarasan Gaji hendaklah dibuat secara isyarat atas gaji pokok. Anggota berkenaan dibayar Gaji Baru apabila kembali bertugas.

6.       Dalam proses Pelarasan Gaji ini, sebarang hukuman yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sebelum tarikh Pekeliling Perkhidmatan ini yang melibatkan gaji anggota, iaitu denda, lucuthak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji atau turun pangkat hendaklah dilaksanakan sepenuhnya. Sebagai contoh, jika pergerakan gaji anggota ditangguhkan sebagai hukuman, maka setelah Gaji Sekarang dipindah kepada Gaji Baru, pergerakan gajinya dalam Jadual Gaji Baru hendaklah ditangguh sehingga hukuman itu disempurnakan.

7.       Anggota yang meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2002 layak diberi Pelarasan Gaji. Ketua Jabatan terakhir di mana anggota ditempatkan hendaklah bertanggungjawab terhadap pembayaran tunggakan.

8.       Perkiraan gaji harian bagi anggota sambilan hendaklah diubah mulai 1 Januari 2002 mengikut Jadual Gaji Baru skim perkhidmatan berkaitan. Walau bagaimanapun, perkiraan gaji harian bagi anggota sambilan hendaklah dibundarkan kepada perpuluhan sen terhampir. Kaedah bayaran hendaklah mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1994 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2000.

9.       Pelarasan Gaji di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini tidak mengubah gred gaji dan skim perkhidmatan yang sedang berkuatkuasa melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991 dan tanggagaji permulaan dalam skim-skim perkhidmatan seperti ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 1997. Mulai 1 Januari 2002, semua skim perkhidmatan dan sebarang tawaran pelantikan hendaklah menggunakan Jadual Gaji Baru.

10.      Jadual Gaji Baru dan Sifir Pemindahan Gaji adalah seperti di Lampiran A.

Bagi anggota yang berada di Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang, Jadual Gaji Baru dan Sifir Pemindahan Gaji adalah seperti di Lampiran B.

11.      Prinsip pemindahan gaji yang digunakan ialah dari Matagaji ke Matagaji (point to point conversion), iaitu di Tangga (T) yang sama dengan mengekalkan Peringkat (P) gaji yang sedia ada. Kaedah pemindahan gaji adalah pemindahan daripada Matagaji Sekarang kepada Matagaji Baru. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran C.

12.      Pelarasan Gaji ini tidak mengubah tarikh pergerakan gaji. Jika tarikh pergerakan gaji anggota ialah 1 Januari, anggota berkenaan hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru dan seterusnya diberi pergerakan gaji dalam Jadual Gaji Baru. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran D.

13.      Sekiranya tarikh kenaikan pangkat ialah 1 Januari 2002 dan sama dengan tarikh pergerakan gaji tahunan atas jawatan sebelum kenaikan pangkat, maka anggota berkenaan hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru atas jawatan lama terlebih dahulu dan kemudiannya diberi pergerakan gaji tahunan atas Jadual Gaji Baru diikuti dengan penyelarasan ke Gaji Baru jawatan kenaikan pangkat. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran E.

14.      Jika tarikh kenaikan pangkat ialah 1 Januari 2002, maka anggota berkenaan hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru atas jawatan lama terlebih dahulu dan kemudiannya diselaraskan kepada Gaji Baru jawatan kenaikan pangkat. Contoh Pelarasan Gaji adalah seperti di Lampiran F.

Elaun dan Kemudahan

15.      Pelarasan Gaji di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini tidak mengubah elaun dan kemudahan di bawah SSB. Walau bagaimanapun, perkiraan untuk bayaran elaun yang berasaskan peratusan daripada gaji yang diterima hendaklah dibundarkan kepada sen yang berhampiran. Penetapan kelayakan bagi beberapa elaun dan kemudahan yang berasaskan gaji adalah diubah seperti di Lampiran G.

16.      Pelarasan Gaji ini tidak mengubah elaun dan kemudahan yang diterima oleh anggota yang berkhidmat di luar negeri.

17.      Dalam proses Pelarasan Gaji ini, sebarang hukuman yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sebelum tarikh Pekeliling Perkhidmatan ini, yang melibatkan elaun anggota hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.

Pemangkuan Dan Penanggungan Kerja

18.      Bayaran pemangkuan dan penanggungan kerja bagi anggota yang sedang memangku atau menanggung kerja pada dan selepas 1 Januari 2002 hendaklah diselaraskan semula berdasarkan kepada Matagaji Baru anggota atau Matagaji Baru permulaan jawatan yang ditanggung kerja, di mana berkenaan.

Faedah Persaraan

19.      Bayaran pencen, ganjaran dan wang tunai sebagai gantian cuti rehat di bawah undang-undang pencen kepada anggota yang bersara pada dan selepas 2 Januari 2002 hendaklah berasaskan Gaji Baru.

 

TARIKH KUATKUASA

20.      Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2002.

 

PEMAKAIAN

21.      Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

PEMBATALAN

22.      Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini -

      a. Perenggan 10 Lampiran A dan B, Perenggan 11 Lampiran C, Perenggan 12 Lampiran D, Perenggan 13 Lampiran E, Perenggan 14 Lampiran F, dan perenggan 15 Lampiran G, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2000.

adalah dibatalkan.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

 

(DATO’ SERI JAMALUDDIN BIN HAJI AHMAD DAMANHURI)

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA.
PUTRAJAYA.

27  DISEMBER 2001

 

Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan


1